Al-Syahid Hasan Al-Banna... Siapa yang tidak kenal dengan nama itu? Satu tokoh Islam yang amat dikenali melalui usahanya menyampaikan Islam kepada pelbagai lapisan masyarakat, dari buruh, peladang sehingga mahasiswa di peringkat tertinggi. Sesiapa yang pernah mengenali usrah, pasti amat mengenali tokoh ini. Nama sebenar beliau ialah Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna. Beliau dilahirkan di sebuah bandar yang dikenali bandar Mahmudiah pada tahun 1906. Bandar Mahmudiah terletak berdekatan dengan Iskandariah. Beliau menamatkan pengajian di Sekolah Dar al-Ulum, Kaherah. Beliau pernah bertugas sebagai pengajar sebelum menubuhkan Ikhwanun Muslimin. "Tokoh yang menggegarkan bumi Mesir dan dunia Islam", itu kata Abu al-Hasan al-Nadwi mengenai Hasan al-Banna.
Ketika menetap di bandar Ismailiah, as-syahid al-Banna serta beberapa rakan (Ikhwan) menubuhkan pejabat pertama Ikhwan Muslimin. Beliau mula mengadakan ceramah serta menyebarkan bahan cetak ke bandar dan desa. Lawatan beliau ke setiap daerah menyebabkan wujudnya pusat dakwah bagi membolehkan didikan Islam sampai ke setiap golongan, baik lelaki mahupun perempuan. Beliau juga menubuhkan Maahad Ummahat al-Muslimin di Ismailiah untuk tujuan tersebut.
As-Syahid al-Banna berpindah ke Kaherah tidak lama selepas itu. Pusat pentadbiran dan ibupejabat Ikhwan turut berpindah juga. Dakwah beliau semakin berkembang sehingga mencecah hampir setengah juta orang. Kebimbangan pihak politik terhadap pengaruh beliau membuatkan mereka berusaha menyingkirkan beliau hingga ke tahap merancang untuk membunuh beliau.
Ketika krisis Palestin meletus, pasukan tentera Ikhwan merupakan pasukan sukarelawan yang paling aktif sehingga berjaya mara dan hampir memasuki Tel Aviv. Malangnya perjanjian damai dengan pihak penjajah yang ditandatangani oleh Raja Farouq (pemerintah ketika itu) telah menyebabkan As-Syahid al-Banna diburu. Beberapa das tembakan dilepaskan kapada beliau ketika berada di hadapan ibupejabat Pertubuhan Pemuda Islam di Kaherah.
Lebih malang lagi, beliau dibiarkan terlantar di lantai hospital dengan darah yang masih mengalir tanpa belas kasihan. Saudara mara terdekat juga dilarang untuk merawat beliau. Beliau meninggal dunia selepas 2 jam berkeadaan begitu pada tahun 1949.
Seorang wartawan pernah bertanya kepada As-Syahid al-Banna tentang dirinya. Beliau berkata: "Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni. Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru dia berseru: Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri. Inilah saya, anda pula siapa?"
Walaubagaimanapun, beliau sempat meninggalkan beberapa tulisan berharga buat umat Islam yang dapat dimanfaatkan hingga kini. Antaranya, Muzakirat al-Dakwah wa al- Da'iyah dan beberapa risalah lain. Marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat beliau dan menyambung tugas dakwah yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. InsyaALLAH.
No comments:
Post a Comment